Saturday, July 31, 2010

TEMAN ku

Tiada apa yang lebih indah daripada sebuah persahabatan,
Menjadi lebih indah jika terjalin bertahun lama hingga terkesan,
Persahabatan yang terungkap di hati setiap insan,
Tiada apa yang lebih cantik daripada sebuah perikatan,
Perikatan yang erat di antara makhluk ciptaan Tuhan
Tiada apa yang lebih girang daripada sebuah kenangan,
Kenangan yang memberi seribu satu makna,
Oh,Tuhan…
Peliharalah persahabatan kami,
Eratkanlah ukhwah kami,
Semaikanlah benih-benih perdamaian,
Jagalah persahabatan kami,
Sehingga ke akhir hayat,
Seperti burung-burung yang berkicauan,
Seperti ikan-ikan di lautan,
Walaupun aku hanya mengenali kau,
Hanya seketikta
Tetapi..
Aku dapat mengenal erti persahabatan di antara kita,
Aku dapat mengenal erti perikatan di antara kita,
Aku dapat menggapai seribu satu kenangan.
Setiap manusia mempunyai impian,
Tetapi tidak semua impian itu,
Menjadi reality,
Kejarlah dan gapailah,
Sementara peluang masih ada.
Aku bukan malaikat,
Yang suci dan bersih,
Aku bukan rasul,
Yang maksum dan terpuji,
Aku juga bukan ahli sufi,
Yang berilmu dan berakhlak mulia.
Aku insan biasa,
Yang tidak terlepas daripada dosa,
Yang biasa menyakitkan hati sesiapa,
Yang mungkin menyinggung perasaan manusia
Maafkan kesalahanku,
Andaikata aku,
Tersilap bicara,
Terlepas kata,
Tingkah laku yang mengada,
Kawan ialah tempat mengadu,
Tempat untuk meluahkan perasaan,
Tempat untuk bercerita
Tempat untuk berbicara.
Wahai kawan,
Dengarkanlah sajakku ini,
Hanya ini sahaja hadiahku,
Buatmu..
Wahai insan yang bergelar teman ...

Sunday, July 25, 2010

eh eh dah habis ...

Diam tak diam, semalam merupakan hari terakhir Kempen Bulan Bahasa 2010 rupanya. Dah habis la  kempen ini secara rasmi? Hmm ... Cepatnya!

Saya pasti ramai yang akan menanyakan saya, "kempen dabes, blog pun ta-ra la ni?" Jangan lah cakap macam itu. Insyaallah, dengan sokongan padu anda serta masa yang terizin, saya pasti dapat meneruskan dan berilham melaui blog ini. Anda tunggu dan lihat!

Namun penulisan saya kali ini saya tujukan kepada anda para pembaca budiman yang selama ini menyokong dan memberi komentar komentar. Macam SHOWING APPRECIATION! Hehehehe ... (sambil mengeluarkan kad ucap terimakasih ini)

Terlebih dahulu, maaf eh kepada mereka yang selama ini meminta "CHAT BOX." Bukan tak nak buat, saya rasa saya lebih fokus kepada intipati blog saya. Saya akui blog saya ini tidaklah seCANTIK mana, tidak lah seKREATIF mana, tidaklah seGAH mana mana blogger mapan. Masih ada kurang rencahnya. Saya masih perlu banyak belajar cara untuk mengendalikan blog ini agar ia lebih mesra alam! Eh salah. Mesra pengguna maksud saya. Saya inginkan, NEXT CHANGE nanti orang baca blog saya, "wahhhhhhhhhh ... kreatif dan padat la blog kau ni Man!" Hehehehe ...

Kedua ingin saya menyusun jari sepuluh memohon ampun maaf seandainya apa yang telah saya hasilkan sejauh ini ada menyinggung perasaan anda semua. Tak terlintas langsung. Sekadara memberikan 2 SEN saya. Orang putih, "giving my 2 cents worth!" Saya ingin juga mengucapkan terimakasih saya kepada anda para pembaca budiman yang tidak putus putus memberi komentar. Biarpun pengikut saya tak beribu, saya amat berpuas hati. Isu isu yang saya kupas tidaklah seSENSASI media cetak ataupun suratkhabar namun saya bangga dengan kemampuan saya sejauh ini. Dah lama oiiiiiiiiiiiiiiii ... tak menulis dalam bahasa ibunda ini. Dah bertahun! Maklumlah sekarang ini tak habis habis saya berkomunikasi dengan bahasa omputeh tetapi saya tidak sama sekali saya akan menganak tiri kan Bahasa Melayu!

Kedua, ucap terimakasih saya kepada pihak penganjur Kempen Bulan Bahasa yang bakal mengamati dan menilai blog saya ini. Kalah menang itu adalah adat pertandingan. Menang, alhadmdulillah. Kalah pun alhamdulillah. Mengapa begitu? Sebab kalau tak kerana kempen ini, saya tidak akan dapat mengetahui sejauh mana kebolehan saya dalam bidang penulisan dan juga tidak akan dapat saya mengumpul teman teman saya untuk sama sama memberi komentar.

Akhir sekali buat diri saya sendiri, syabas kerana telah berjaya membuktikan kepada diri anda sendiri bahawasanya ANDA BOLEH & anda mampu untuk membuktikan Bahasa Melayu masih relevan dalam konteks kehidupan sekarang.

Akhir kalam, kepada mereka yang masih cuba untuk melafazkan "bahasa melayu i tak bagus la you" tolong jangan berangan depan saya! Anda orang melayu, utamakan bahasa ibunda sendiri sebelum ada niat untuk mempelajari bahasa lain!

Friday, July 23, 2010

buang CURRENT!

Perlukah Bahasa Melayu bersaing dengan bahasa asing?


Perlukan Bahasa Melayu ditonjolkan dengan lebih kerap?

Perlukah Bahasa Melayu mendapat suntikan yang lebih kreatif demi untuk minat menarik belia belia dan anak anak muda berkomunikasi dengan lebih baik lagi?

Perlukah kita membawa sepandok dengan menulis cogankata “BAHASA MELAYU, GUNAKANLAH WAHAI PENDUDUK MELAYU SINGAPURA!” (dah macam raptai Hari Kebangsaan kan? :P)

Perlukah Kempen Bulan Bahasa dilaksanakan setiap enam bulan sekali?

Perlukah … eh eh ... berapa banyak PERLUKAH dah! Hehehehehehe …

Persoalan demi persoalan dari saya namun jawapannya masih hambar.

Bukannya apa, Kempen Bulan Bahasa Singapura hampir melabuhkan tirai malamnya .. eh salah. Tirai penghujungnya jadi nak tahu juga sejauh mana kempen kali ini terkesan dihati para penduduk Melayu disini.

Apakah matlamat yang diinginkan tercapai sudah?

Apakah keputusan yang diraih benar benar telah menambat hati para penganjur?

Apakah diperhentian bas, stesyen MRT, gerai, pasar, pusat membeli belah; tak kira lah mana jua, kita lebih kerap mendengar Bahasa Melayu yang BETUL dipergunakan?

Kalau matlamat yang diinginkan tercapai sudah, Alhamdulillah. Kalau sebaliknya … lahai … Mat Rock kata, BUANG CURRENT!

Anda pula bagaimana? Anda rasa menjadi tak kempen kali ini?

Thursday, July 22, 2010

bukan TAK NAK CUBA!

“Bukan tak nak try Busu, Nina no understand Melayu kadang kadang. Lagipun cam kelakar kalau cakap Melayu dengan betul. Cakap in English with Busu can better.”


Itulah rungutan anak saudara saya yang berusia 10 tahun setiap kali saya menyuruhnya bertutur Bahasa Melayu.

Jawapan saya kepadanya, “Ya la tu! Wah! Sombongnya. Bahasa Inggeris Nina pun cukup cukup makan ada hati nak beritahu Busu, tak faham Bahasa Melayu! Pegi dah!” Terus dia terdiam sejenak. Ibunya yang berada disisi saya memberikan senyum setuju pada saya. Muka serious ni! Hehehehe ...

Inilah skenario yang saya alami baru baru ini. Ia terjadi apabila anak saudara memberikan ibunya kertas kerja sekolah Melayu untuk ditandatangani. Saya sempat membelek hasilnya dan alangkah terkejutnya saya melihat markah yang diperolehinya. Terbeliak mata saya. Cukup makan!

Lalu saya menemuramahnya dengan cara sinis. Saya bertanya kepadanya mengapa kertas kerja sekolah Melayunya berada dalam tahap sedemikian. Maka dialog yang terkeluar dari mulutnya adalah seperti diperenggal yang pertama. Sedih saya dibuatnya.

Hendak juga saya merisik dengan lebih mendalam namun saya biarkan sahaja tetapi saya beri perangsang kepadanya untuk terus meningkatkan dirinya dan berusaha dengan lebih gigih. Markah yang diperolehinya sememangnya boleh diperbaiki. Saya yakin dengan kebolehannya kerana saya pernah membimbingnya tahun lepas dan markah keseluruhan bagi peperiksaan akhir tahun lalu amat memberangsangkan. Tak tahu pulak kenapa tahun ini prestasinya menjunam bak pasaran saham sedunia! Cikgu sekolah tak bagos kot? Ataupun pelajaran Bahasa Melayu sekarang sememangnya susah?!

Tak mungkin! Tak mungkin! TAK MUNGKIN!

Terlintas difikiran saya sejenak, apakah yang diajar oleh guru Bahasa Melayunya? Apakah pendekatan yang telah diambil oleh para guru sekolah? (macam betul saya ni eh ... hehehehe)

Apakah kaedah yang digunakan gurunya? Adakah ia secara menyeluruh ataupun sekadar masuk bilik darjah, “Murid murid, buka muka surat 25 hingga 30 dan buat latihannya dan hantarkan kepada Cikgu bila loceng berbunyi!”

Saya tidak mahu menuding jari namun kalau cara seumpama itu bak seperti Cikgu Hassan dalam filem Masam Masam Manis, saya pun boleh! Hehehehehehe …

Saya pernah mendengar rungutan dari kakak saya mengatakan adakalanya guru Bahasa Melayu sekolah anak saudara saya pun tidak mengambil ikhtiar untuk melestarikan Bahasa Melayu itu sendiri. Pernah kakak saya menghantar pesanan ringkas kepada guru Bahasa Melayu tersebut untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kelas tambahan anaknya namun balasan yang kakak saya terima dari guru tersebut adalah DI DALAM BAHASA INGGERIS! Betul tak tipu!

Bahasa OMPUTEH la dia pakai! Camner ni? Orang hantar Bahasa Melayu dia BALAS OMPUTEH! Unfair tak? Ooops! Menjadi jadi pulak saya ini pakai bahasa tonggang langgang. Hehehehe ...

Sejurus menerima pesanan tersebut, hampa kakak saya dibuatnya. Susah payah dia mengilhamkan ayat ayat yang sempurna lagi indah kepada gurunya namun jawapan yang diberikan semuanya OMPUTEH!

Bak kata Zaiton Bujang Lapok, “berabok speaking London!” Hehehehehe …

Kalau dah guru sekolah mengambil sifat acu tak acu, haiiiii … Nak tulis ke tak nak eh?! Hmm …

Anda sajalah yang jadi penentu samada Bahasa Melayu tetap relevan dalam konteks kehidupan sekarang.

Saya nak pack and go ni!

Sunday, July 18, 2010

asal usul Bahasa Melayu, dari mana eh?

Boleh tahan juga saya sejauh ini mampu menulis 9 blog. Diam tak diam juga saya mampu mengumpul juga teman teman saya untuk sama sama memberikan komentar yang membina. Biarpun tak berpuluh ribu namun saya bangga hasil saya tetap dibaca. Alhamdulillah.


Kesihatan saya sejak kebelakangan ini berada dalam tahap “not tip top” sekali namun saya kuatkan semangat juga untuk melaksanakan amanah saya dipejabat dan juga memperkemaskinikan blog saya.

Hari ini saya ingin mengupas sesuatu yang saya sendiri hingga kini masih lagi belum bertemu dengan jawapannya. Soalan ini sering kali berada di benak fikiran saya. Semalam baru saya diusulkan oleh soalan yang sama oleh anak saudara saya melalui “web-cam”. Apakah soalan cepumas itu? Anda pun tentu ingin mengetahuinya. Soalan yang diajukanya pada saya ialah dimanakah asal usul perkataan Melayu sebenarnya?

Anda tahu?
Disekolah pun saya rasa guru saya tidak pernah pun membahaskan topik sedemikian. Pembelajaran saya disekolah dahulu banyak berkisahkan kepada mempelajari Tatabahasa, Kefahaman, Karangan, Peribahasa dan yang lain lain yang sewaktu dengannya. Ingin juga saya mengetahui asal usul sebenar kekata Melayu ini.

Tak mahu saya di "label" tahu cakap Melayu tetapi sejarah Melayu tak tahu asal usulnya. Malukan.

Selidik punya selidik, selongkar punya selongkar, (macam Spy Mat Bond saya jadinya), inilah empat bukti yang dapat saya kaitkan akan asal usul Bahasa Melayu. Saya tak pasti ia adalah fakta sebenar namun apa salahnya saya kongsi bersama.

Pertama

Mengikut catatan orang orang China dahulu, mereka pernah menyatakan sebuah kerajaan Mo-Lo-Yeau mempersembahkan hasil bumi mereka kepada Raja China pada tahun 644 sehingga 645 Masihi. (nak juga saya tahu kenapa orang China dahulu memanggil orang orang itu semua Mo-Lo-Yeau? Apakah ia terjemahan mereka secara tidak rasmi? Adakah mereka semua ini pedagang? Adakah ia memanggil Mo-Lo-Yeau disebabkan oleh kulit sawo matang orang orang itu semua?)

Kedua

Ada juga kisah sejarah yang mencatatkan dan mempercayai kerajaan Mo-Lo-Yeau pernah berpusat dikawasan Sumatera daripada sebatang sungai yang deras alirannya iaitu dipanggil Sungai Melayu. (hmmm … ini pun saya musykil mengapa Sungai itu dipanggil Sungai Melayu? Adakah penghuni dikawasan itu mempunyai perwatakan yang sama seperti yang tersebut pada catatan orang China? Itu kawasan Melayu ke?)



Ketiga

Yang ketiga saya dapati dari naskah sejarah dicatatkan oleh orang orang China dahulu pernah mengatakan ada seorang rahib bernama I-Tsing (bukan I SING eh :P) yang menggunakan kekata Ma-Lo-Yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar tahun 675 Masihi (penuh dengan misteri dan tanda tanya memikirkan hal ketiga ini! Kerajaan mana eh? Malaysia? Indonesia?)



Keempat

Yang terakhir yang dapat saya cari jawapannya ialah dalam Bahasa Jawa Kuno, perkataan “Mlayu” bermaksud berlari ataupun menggembara. (Adakah orang orang kita ini memang terkenal dengan menggembara mahupun berlari? Kalau nak dikatakan kebanyakan orang kita ini nelayan yang suka menggembara ataupun pedagang memang saya setuju, namun kalau bab berlari ini … hmmm …)

Saya ingin sekali mengorek lebih dalam asal usul Bahasa Melayu. Namun setakat ini, hanya empat sahaja yang saya ketemu melalui rujukan yang saya buat.

Saya yakin persoalan saya bakal terjawab. Apa yang pasti, saya akui dan saya yakin Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan orang Malaysia, Indonesia, Brunei dan juga Singapura.

Biarpun saya harus terima hakikat Bahasa Melayu Pasar semakin pesat digunakan disana sini, saya yakin Bahasa Melayu yang sebenar benarnya akan tetap dipergunakan . Tak kan pulak nak pakai bahasa pasar ini kat majlis rasmi pulak kan. Tak ke haru biru nanti suasana majlis itu. Kesan akibatnya dalam jangkamasa panjang - NEGATIF!

Perlu diingatkan fenomena bahasa pasar ini akan melahirkan rasa kurang senang dikalangan pencinta bahasa di Singapura seperti saya ini (terbatok kecil sekejap) yang sering memperjuangkan bahasa kebangsaan yang betul, tepat dan beralas.

Seperkara lagi, perlu diingatkan, bahasa rasmi Singapura adalah BAHASA MELAYU BUKAN OMPUTEH eh!

Thursday, July 15, 2010

TERKULAI LAYU!

Agak lama juga saya tidak meng"update" blog saya ini. Saya miss la dengan blog saya ini. My hands pun dah itchy sangat nak mengwrite! Oops! Ter"omputih" pulak saya ini. Maaf. Tidak terniat langsung untuk mencemarkan bahasa ibunda saya.

Agak lama juga saya tidak menjenguk blog saya dan mencatatkan apa yang patut dicatatkan mengenai perkembangan Bahasa Melayu. Rindu sangat. Indah kan kalau dibaca sebegini? Tak seperti yang terdahulunya. ROJAK!

Teman teman juga ada menghantar kiriman pesanan ringkas kepada saya menanyakan kenapa "TAK UPDATE AR!" "MANA MENGHILANG NI?" 

Bukan niat saya untuk menghilangkan diri namun kesihatan diri tidak mengizinkan kebelakangan ini. Ujian yang saya terima dariNYA amat kuat sekali. Alhamdulillah, berkat doa, ikhtiar penyakit saya beransur pulih.

Berbalik kepada misi saya untuk melestarikan Bahasa Melayu, diam tak diam dah pun pertengahan bulan Julai 2010! Cepat betul lahaiiiiiiiiiiiii ... (alamak macam mak mak saya berbual ... hahahahaha)

Diam tak diam juga, kempen Bulan Bahasa 2010 pun dah pun dipertengahannya. Apakah matlamat para pengajur kempen tersebut sudah tercapai? Sudahkah kita melihat perubahan dikalangan orang orang kita berbual didalam Bahasa Melayu? Apakah Bahasa Melayu mendapat tempat pertama dikalangan orang orang kita? Maklumlah sekarang ini wabak "maaf ya saya tak pandai la Bahasa Melayu" semakin menjadi jadi saya tengok.

Saya juga berkesempatan untuk memantau disekeliling sekitaran saya, sama saja saya lihat. Hmmmm ... terkulai layu dibuatnya Bahasa Melayu. Masih lagi kedengaran bahasa bahasa rojak, bahasa bahasa asal boleh, bahasa songsang, bahasa bahasa "nor here nor there" ... eh eh ... ter"omputeh" lagi la. Maaf kan saya.

Saya rasa masih banyak yang perlu dilaksanakan.

Sememangnya tidak mudah untuk memajukan Bahasa Melayu apatah lagi mengubah persepsi dan memperbaiki mentaliti orang orang kita. Persekitaran yang berteraskan bahasa rojak semakin berleluasa. Anak anak muda sekarang lebih mementingkan bahasa yang ringkas lagi berterabur untuk berkomunikasi. Sungguh saya tak faham! Wadah yang sedia ada pun tidak dipergunakan dengan sebaiknya. Ia juga tidak akan menjamin Bahasa Melayu akan dipergunakan secara menyeluruh.

Saya fikir untuk melahirkan individu yang berpengetahuan dalam Bahasa Melayu dengan penguasaan yang mantap, menyeluruh dan terkini, timbulkan kesedaran untuk menjaga maruah Bahasa Melayu memang tidak mustahil untuk direalisasikan namun masih jauh dari genggaman! Masih banyak yang perlu dilaksanakan.

Apakah dan bagaimanakah caranya? Jawapannya ada pada diri anda sendiri!

Friday, July 9, 2010

Raja Ali Haji & Kehebatannya!

Siapa diantara kalian kenal akan Raja Ali Haji? 

Ini bukan Raja Ali yang terkenal dengan doh roti prata yang lembut mahupun pemilik kedai yang menyediakan Sup Tulang yang "POWER" eh ... Hehehehehe ...

Lupa? Tak ingat? Tak tahu? Hmmm .. .Sedihnya. 

Kalau saya sebut Gurindam 12? 


Baru saya nampak ada yang melopong mulutnya dan mengangguk kepala memberikan isyarat - Ya Saya Kenal!  

Itulah Raja Ali Haji yang saya maksudkan. 


Antara gurindam yang dihasilkan beliau yang amat saya gemari adalah seperti berikut:-

"Barang siapa tiada memegang agama,sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama
Barang siapa mengenal yang empat,maka ia itulah orang ma'rifat
Barang siapa mengenal Allah,suruh dan tegahnya tiada ia menyalah
Barang siapa mengenal diri,maka telah mengenal akan Tuhan yang bahari
Barang siapa mengenal dunia,tahulah ia barang yang terpedaya.
Barang siapa mengenal akhirat,tahulah ia dunia melarat ..."

Indah bukan setiap bait ayat yang dihasilkan? 


Hati saya cukup tersentuh akan setiap karyanya. 

Tidak ramai yang mengetahui Raja Ali Haji bukan sahaja terkenal sebagai penulis Gurindam 12, untaian sajak dan pujangga tersohor, malahan beliau juga merupakan seorang cendikiawan yang menguasai banyak bidang keilmuan seperti sejarah, ilmu bahasa, ilmu kalan, undang-undang, tasawuf dan juga hal ehwal politik.

Apa yang ingin saya bertanya kepada anda semua, akan adakah Raja Ali Haji Ke-2 wujud dialaf baru ini? Seseorang yang mampu menghasilkan naskah naskah yang baik, memartabatkan, melestarikan serta menegakkan Bahasa Melayu seperti dahulu kala. Tidak mustahil pada saya namun persoalannya, bila?

Seandainya ada insan seperti beliau wujud, insyaallah, Bahasa Melayu akan tetap bertahta dan menjadi relevan.

Tidak la pelat orang Melayu kita berbahasa Melayu kan?

Wednesday, July 7, 2010

KECEWA tapi POSITIF!

Dulu di bangku sekolah saya pernah bercita cita untuk menjadi seorang guru sekolah. Pekerjaan yang mulia bagi saya namun terhalang ditengah jalan. Bak orang bercinta. Putus ditengah jalan. Sedih saya dibuatnya. Biarlah ia menjadi rahsia abadi mengapa cita cita saya tersekat. (kesat pipi sekejap :P)

Dulu dibangku sekolah juga, saya pernah impikan untuk memilih pekerjaan yang bersangkut paut dengan seni. Sekali lagi terpaksa saya kuburkan impian saya.
Akhirnya, saya terjerumus ke bidang angka dan kira mengira. Ia bukanlah sesuatu yang saya inginkan. Naluri saya memberontak dan menjerit memohon pada saya agar saya mencuba sesuatu yang sebati dengan diri saya. “Tolong! Tolong! Tolong! Lepaskan aku!” dia berkata kepada saya. Lebih kurang begitu. Hehehehehe ...

Adakalanya saya rasa tertekan kerana tidak dapat melakukan sesuatu yang saya minati. Jiwa saya mendung. Mungkin disebabkan kekecewaan inilah saya boleh dikatakan seorang yang “introvert” ataupun pendiam.

Namun, kreativit yang menular didalam jiwa saya tidak pernah pudar ataupun lenyap sama sekali. Ada kalanya saya salurkan ia kepada penulisan diari hidup, adakala dua tangan saya ini mencipta sesuatu benda baru, adakalanya juga tangan saya sibuk mengemas dan menghiaskan rumah dengan kreativiti yang tidak putus putus ada dalam diri saya. Seperkara lagi, dirumah saya, saya secara tidak langsung dinobatkan sebagai “PENGHIAS TETAP RUMAH TAMPINES & KETUA EHWAL DALAM MAJLIS HARIJADI ataupun yang sewaktu dengannya” Kenapa? Disebabkan diantara anggota famili, saya la boleh dikatakan paling kreatif. (ini tak bohong!)

Balik kepada persoalan kehampaan, dalam keadaan kecewa oleh kerana cita cita saya tidak kesampaian, saya menulis dan terus menulis dan menulis dan menulis kemudian menulis lagi bagi melupakan kesuraman saya. Kalau menulis semestinya dalam bahasa ibunda. Tak kan pulak Bahasa Tamil kan? Hehehehehe ...

Hmmm ... agaknya jika dibukukan penulisan saya bakal menjadi memoir kekecewaan hidup saya agaknya! Boleh diedarkan ditoko toko yang diyakini.(perasan)

Dari penulisan didalam bahasa ibunda inilah minat saya kepada Bahasa Melayu semakin mendalam. Saya tidak menyalahkan sesiapa jika hasrat saya tidak tercapai. Mungkin telah ditakdirkan sebegitu. Saya harus bangkit dan terus menyalurkan kreativiti saya pada landasan yang lain. Seperti di blog pertama saya ini.

Moga moga usaha saya bakal mencetus minat dan mendekatkan anak anak saudara serta kenalan saya untuk memahami dan mempelajari Bahasa Melayu dengan lebih mendalam. Saya yakin Bahasa Melayu masih punya harapan untuk bertahta dihati anak anak zaman sekarang. Cuma kita harus berfikir secara meluas dan optimal. Paling penting untuk tidak berputus asa memperjuangkannya.

Biarpun kecewa hasrat saya tak tercapai, Alhamdulillah saya telah laksanakan sesuatu yang positif bagi diri saya.

Monday, July 5, 2010

Adakala Saya Tewas Dengan Dunia Bahasa Baru!

Sejak dibangku sekolah lagi memang saya sendiri dapat merasakan, penguasaan Bahasa Melayu saya berada dalam tahap yang amat memuaskan. Ini bukan kes masuk bakul angkat sendiri eh. Ada buktinya. Hingga saya ingat suatu ketika dulu diperingkat sekolah menengah, saya pernah menyertai peraduan bersyair dan berpidato, segala persiapan dibuat dengan teliti dan hasilnya, saya menang tempat pertama! Namun, hadiahnya tak kunjung tiba hingga ke saat saya meninggalkan sekolah tersebut! Sedih you! Agaknya, pengelola peraduan tersebut terlupa.

Mungkin dari peringkat sekolah inilah yang meningkatkan minat saya untuk bertutur dengan baik sekali dalam bahasa ibunda. Namun dinihari, adakalanya saya rasa tewas dengan dunia bahasa baru sekarang. Kebanyakkannya bahasa yang dipergunakan bercampur aduk, kerap menggunakan singkatan (terutama sekali ketika bertukar mesej pesanan ringkas diselfon) sehingga terkial kial saya hendak membacanya. Perlukah saya menurut langkah sedemikian? Mengikut arus perubahan bahasa? Perlukah juga saya ikut serta untuk memperkayakan diri saya dengan memperluaskan ilmu saya dengan bahasa slanga yang kerap digunakan oleh anak anak muda zaman sekarang?

Jawapan saya - TIDAK SAMA SEKALI! Omputeh kata "NO WAY I WON'T!" Hehehehehe ...

Buruk padahnya bagi saya untuk menurutinya kemahuan anak anak muda zaman sekarang. Sebagai contoh kata/ayat bahasa slang apa yang saya maksudkan:

1. Caye ialah PERCAYA
2. Mepek ialah MEREPEK
3. Tipon/Teypon ialah TELEFON
4. Lum ialah BELUM
5. Ngah ialah TENGAH
6. "Awak ngah wat per tew? Bz ker? Cam bz jer?”
7. “Per ni bro? Kitorang tk hingin ha nak wat camtu!”

Ada faham?

Pada awalnya saya rasa penggunaannya hanya untuk memeriahkan suasana sahaja namun lama kelamaan ... hmmm ... ia menjadi semacam budaya dalam berkomunikasi sesama sendiri. Ini menjadi ikutan dan saya rasa jika direnungkan untuk seketika waktu, kesan jaka panjangnya amat buruk sekali! Generasi muda yang mendatang bakal merumuskan inilah Bahasa Melayu yang sebenarnya walhal ia sama sekali tidak benar.

Seandainya kita terus menerima bahasa slanga, nampak gaya akan pupuslah Bahasa Melayu dihari mendatang!

Ingatlah wahai insan, bahasa melambangkan bangsa, (dah macam Forum Perdana ... hehehehe) jika bahasa slanga dibiarkan berleluasa dan singgah ke minda generasi anak anak muda yang mendatang, percayalah mereka akan lupa akan bahasa ibunda mereka sendiri.

Justeru itu, kekang seberapa yang boleh penggunaan bahasa slanga ini!

Sunday, July 4, 2010

Dialog Filem Melayu Zaman Dahulu - Ada OOMPH!

Hari ini saya ingin berdiskusi mengenai filem dan drama Melayu. Tidak kiralah yang ditayangkan di layar perak mahupun yang disiarkan dikaca televisyen anda. Tidak juga yang dihasilkan di Singapura ataupun diseberang tambak. Ada pengajaran yang bakal diraih seandainya anda amati setiap kisah yang ditayangkan.

Kepelbagaian emosi yang dilakonkan para pelakon, sutradara yang hebat, penyunting naskah yang harus mengerti susunan kalimat Bahasa Melayu dengan baik dan segala apa apa sajalah yang berkaitan dengan pembikinan filem; ini merupakan faktor utama dalam membuatkan filem atau drama yang dihasilkan POWER ataupun GEREK sey! Eh ... maaf. Bahasa pasar pulak yang saya gunakan. Hehehehe ...


Namun saya amat bengang dengan kualiti filem filem yang dihasilkan sekarang. Tiada apa yang boleh dibanggakan. Lebih menonjol kepada unsur komersial. Ini pendapat ikhlas saya. Ia amat membosankan dan mudah sekali dibaca jalan ceritanya. Adakalanya, langsung tiada daya penarikan! Jika anda bertanya kepada saya, filem yang bagaimanakah yang mampu membuat minda yang bekerja keras, jawapannya tak lain tak bukan, filem filem zaman dulu yang diterbitkan oleh Cathay Keris dan Run Run Shaw. Filem filem seperti Sumpah Semerah Padi, Sultan Mahmud Mangkat Didulang, Raden Mas, Bidasari, Dayang Senandong, Singapura Dilanggar Todak dan sebagainya. Inilah filem filem zaman dahulu yang berkualiti!

Kegemilangan hasil filem dari Jalan Ampas dan juga Allahyarham Tan Sri P. Ramlee juga memang sukar ditandingi. Berpuluh pulh kali menontonnya namun tidak akan jelak malahan emosi saya kian terusik walaupun jalan ceritanya sudah terlebih dahulu saya mengetahui. Hairan kan?

Mengapa filem filem zaman dahulu lebih menarik untuk ditonton walapun kutipan "box office" tak mencecah berpuluhan juta ringgit! Tapi tetap unggul dan mampu bertahan hingga ke hari ini. Cubalah anda pikat saya untuk menonton filem zaman sekarang? Anda kira beruntung kalau saya turut kemahuan anda menonton bersama filem Melayu. Bukan tidak ingin menyokong, tiada "ooomph" faktor la! Balik balik filem cintan cintun. Diberi tiket percuma pun saya tak mahu. Eksyen kan saya? Hehehehe ...

Apakah formula sebenarnya kehebatan filem dahulu? Adakah kerana jalan cerita yang menarik? Adakah pelakon pelakonnya berkarisma? Dimana letaknya kekuatan sebenar filem dahulu yang mebuatkan filem zaman sekarang agak kebelakang biarpun dihasilkan dengan teknologi moden?

Senang cakap, pertuturan Bahasa Melayu yang baik dan lancar yang selalu ditonjolkan dalam filem filem dahulu. Ini mempengaruhi jalan cerita filem secara keseluruhannya. Senang saya melihat dan mendengarnya. Betapa nan indah Bahasa Melayu yang diperjuangkan pada filem zaman dahulu. Bak kelopak bunga. Segar. Indah. Namun begitu, dalam filem filem komedi arahan Tan Sri P. Ramlee, adakalanya bahasa yang digunakan agak kasar juga tetapi dalam keadaan batasnya! Tidak dipengaruhi unsur unsur kebaratan. Itu yang penting.

Cuba anda perhatikan dialog diantara Cik Latifah dengan madunya, Cik Hasnah dalam filem Madu Tiga ini disaat mereka "berperang mulut secara formal" dirumah Cik Rohani. Inilah babak yang menjadi "favourite" dan ikutan para penggemar filem Melayu. Amatinya.

Cik Latifah: Cik Hasnah mengatakan Cik Hasnah melayan suami. Siapa suami Cik Hasnah sekarang?

Cik Hasnah: Siapa lagi Cik Tipah kalau tak Cik Jamil tu.

Cik Latifah: Eh, setau saya Cik Jamil telah berpisah dengan Cik Hasnah.

Cik Hasnah: Tidak. Cik Jamil mana boleh tinggalkan saya. Setahu saya pulak Cik Latifah yang berpisah dengannya. (dengan penuh keyakinan muka Cik Hasnah)

Cik Latifah: Tidak Cik Hasnah. Cik Jamil masih pulang ke rumah.

Cik Hasnah: Ye ke? Jangan jangan kita ini masih bermadu lagi tak. (ketawa sinis)

Cik Latifah: Hey. Cik Jamil dah buat pulak. (dengan muka selamba dan sambil jari dikerusi mengetik) Nasib baik awak dirumah orang, kalau tidak saya kerjakan awak.

Cik Hasnah: Awak ingat saya ni batang pisang yer? Sebelum awak kerjakan saya, saya korek biji mata awak. Uhuk .. (ketawa manja)

Cik Latifah: Eh eh sedapnya. Dah dirampasnya suami kita, biji mata kita pulak nak dikorek!

Hahahahahaha ...

Tak dapat dinafikan lagi setiap kali babak ini muncul, saya akan senyum simpul dan ketawa. Saya hilang kira sudah berapa kali saya menonton filem ini. Memang hebat bukan? Bahasa yang cukup indah biarpun sinis!

Cuba kalau anak anak zaman sekarang, "let's say" atau misal kata mereka berselisihan faham dan bertikam lidah dengan teman teman mereka ataupun sang isteri berperang dengan sang suami? Panas telinga dibuatnya! Tak perlu saya nak menulisnya disini kelak kena GAM nanti blog saya!

Berbalik kepada hal filem, tidak dapat saya menolak kenyataan ada juga filem filem dan drama Melayu yang berkualiti dihasilkan namun belum anda yang mampu menandingi filem filem zaman dahulu! Saya masih menanti!

Inilah keindahan Bahasa Melayu. Semakin lama saya mengupas akan keindahannya semakin saya gemar untuk mempergunakannya bersama ahli keluarga dan juga teman teman saya. Saya tidak akan memperdulikan apa orang akan kata bahasa saya "pekat", yang penting saya orang Melayu dan harus saya mempergunakannya. Tidak kira samada dalam keadaan hari hari biasa, hari sedih, hari gembira, hari lucu, apa apa hari jugalah, Bahasa Melayu adalah bahasa pilihan saya biarpun saya mahir dalam bahasa lain.

Seronok berbual pasal Madu Tiga, panjang lebar pulak blog saya ini! Hehehehe ... Baik saya berundur. Jangan marah ya.

Saturday, July 3, 2010

Bahasa Melayu - "Orang Berita Jer Gunakan!"

Saya baru sahaja selesai berbual dengan teman saya di telefon. Sepanjang perbualan kami di telefon, tak putus putus, teman saya berkomunikasi dengan lidah "omputeh"nya! Bak kata Zaiton Bujang Lapok berabok speakin London!

Kalau nak dikatakan sempurna tak juga, berterabur. Cukup cukup makan saya dengar. Apatah lagi diselitkan dengan bahasa ikonik Singapura iaitu SINGLISH! Memang tak boleh angkat! Berbulu telinga saya. :p

Semampu yang boleh saya cuba mempergunakan Bahasa Melayu namun agar dia dapat bertutur dan membalas saya dengan Bahasa Melayu juga, alamak! Sia sia saja ikhtiar saya. Semakin menjadi jadi dia berbual "omputeh" setengah masaknya kepada saya.

Apa dah jadi? Apa dah jadi? Sampai sekarang ... Eh ... dah macam lagu S.M. Salim dah!

Lalu saya menegurnya dan keadaan bertukar jadi tegang sedikit. Dia tidak dapat menerima kenyataan yang saya berikan. Bermacam macam helah diberikan kepada saya mengapa dia memilih untuk berbahasa sedemikian. Padanya, Bahasa Melayu bukan saja sukar malahan terlalu berbunga bunga bagi dia. Orang “baca berita” jer dia kata bual macam saya! Ada ke patut? Tak sedar diri punya manusia! Kalau "omputeh"nya itu dah setaraf Orang Inggeris memang saya tak boleh mempertikaikannya, harus saya memujinya. Ini. Inilah Melayu tak sedar asal usul nya!

Tatkala mendengar cemuhan darinya, hati ingin melafazkan sesuatu namun fikirkan balik ia bakal menghiris perasaannya, saya batalkan niat saya. Sejak awal perkenalan kami memang tak berubah cara dia berkomunikasi dengan saya.

Amat sedih, bila kita dapati masih ramai di kalangan rakyat kita khususnya Orang Melayu yang masih tidak boleh bercakap Bahasa Melayu dengan baik dan fasih walaupun mereka lahir di sini sebagai anak jati Pulau Singapura.

Bagaimana ia boleh terjadi? Apakah Bahasa Melayu tidak relevan lagi didalam kehidupan seharian mereka? Apakah mungkin faktor ini terjadi kerana tiadanya kesungguhan untuk mereka belajar dan bertutur Bahasa Melayu dengan baik? Apakah lidah mereka lebih cenderung kepada Bahasa Inggeris? Bahasa Pasar ataupun yang menyedihkan lagi sudah sebati dengan perbualan Singlish? Mengapa harus disterotaipkan Bahasa Melayu ini sebagai bahasa bangsawan dan bahasa “orang orang berita?”

Cubalah anda mendengar perbualan perbualan di kedai kopi atau mana pusat tukaran bas di Singapura. Tersasar jauh anda dibawanya mendengarkan perbualan anak anak muda sekarang. Ada kalanya tanpa segan silu kata kata yang kurang sopan dilontarkan sebegitu saja. Sedih. Memang sedih.

Sewajarnya semua anak-anak yang terdidik dengan sistem pendidikan kebangsaan di Singapura ini mestilah menguasai Bahasa Melayu dengan struktur dan sebutan yang betul tanpa pengecualian kerana ianya merupakan Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Negara!

Seperti yang digagaskan oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura dalam kempen Bulan Bahasa, BAHASA KITA. GUNAKANLAH. Inilah yang kita dengar sejak dari awal kempen ini diadakan.

Apakah kesudahannya? Apakah matlamat badan tersebut bakal dicapai?

Sama sama kita nantikan.

Thursday, July 1, 2010

Bahasa Melayu Susah?

Sebagai seorang insan yang berbangsa Melayu, adakalanya saya saya amar terhina apabila saya melihat sebangsa saya jarang menggunakan Bahasa Melayu. Ia tidak lagi digunakan sepenuhnya. Baik dinegara sendiri mahupun apabila di perantauan. Bak dianaktirikan. Ada yang lebih berani lagi melafazkan kata kata sinis mengenai Bahasa Melayu mengatakan ianya bahasa mundur. Ada ke patut?

Ramai juga anak anak Melayu sekarang yang saya lihat kurang minat akan menutur Bahasa Melayu dengan tertib mahupun sempurna. Cakapnya nak “omputeh” aja! Itu pun kalau “omputeh-nya” sempurna tak mengapa. Haii ... Tonggang terbalik yang selalunya saya dengar.

Lihat akan apa yang tersiar didada akhbar? Pelajar Melayu sering kecundang dalam Bahasa Melayu. Ada yang yang harus mengambil kelas tambahan demi untuk mendapat gred yang baik dalam peperiksaan. Adakah ia perlu? Susah benar ke hendak menguasai Bahasa Melayu ini? Silapnya dimana?

Setiap individu memang digalakkan mempelajari pelbagai bahasa mengikut kemampuan diri mereka. Tak kira apa bahasa kerana bahasa merupakan kunci ilmu. Namun, jangan kita sesekali memperlekehkan atau melupakan terus akan Bahasa Melayu kerana Bahasa Melayu ini juga merupakan salah satu daripada kunci-kunci ilmu tersebut. Ia tetap relevan dalam konteks kehidupan sekarang. Ia merupakan bahasa yang cukup indah sekali.

Pada pendapat saya, untuk melestarikan Bahasa Melayu haruslah kita menunjukkan contoh tauladan. Ia sebenarnya bermula dari rumah. Kalau dirumah kita amalkan pertuturan Bahasa Melayu dengan sepenuhnya, Insyaallah akan menjadi. Namun kalau dirumah, bahasa yang dipergunakan adalah bahasa pasar atau bahasa cukup cukup makan, tak perlu saya tuliskan dengan lebih teliti akan hasilnya. Anda tentu tahu akan jawapannya!

Seperkara lagi, saya ingin benar melihat agar para pemimpin, artis, selebriti atau mana mana ikon ikon Melayu yang disegani dan dihormati bertutur dalam Bahasa Melayu yang lengkap tanpa ada bahasa asing diselitkan! Apa salahnya jika mereka berucap dalam Bahasa Melayu? Tak kira samada ditemuduga baik untuk rancangan khas TV ke, radio ke ataupun media cetak? Ini adakalanya saya lihat mereka “tergagap gagap you” apabila hendak berucap.

Tidak hairanlah keadaan Bahasa Melayu yang ada sekarang ini semakin hari semakin hilang. Ia telah banyak dicampur dengan elemen bahasa rojak dan bahasa pasar yang diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Sedih namun inilah realitinya.

Ingin juga saya lihat dimasa hadapan, adakah Bahasa Melayu ini akan terus berkembang maju dan diamalkan sepenuhnya? Atau sekadar tinggal nama dan menjadi mata pelajaran kedua di sekolah sekolah merata kota Singapura ini?

Tiada jawapan yang mampu saya beri.

Wednesday, June 30, 2010

Bulan Bahasa 2010

Dalam rangka memperingati Bulan Bahasa Singapura 2010, maka lahirlah "blog" saya pada tanggal 30 Jun 2010. Keputusan yang saya ambil ini pun boleh dikatakan sebagai mendadak. Bukan ganjaran, pujian serta hadiah yang diimpikan namun niat saya yang sebenar adalah untuk mengasah bakat saya dalam bidang penulisan serta juga memperhalusi bahasa ibunda saya. Maklumlah, Bahasa Melayu hari ini semakin hari semakin diketepikan.

Kepada pembaca budiman, melalui sesawang "blog" saya ini, saya berharap benar anda dapat memberikan sokongan padu buat diri saya dan menguar uarkan kepada mana mana individu yang berminat dalam Bahasa Melayu.

Biarlah saya berundur diri terlebih dahulu untuk mencari bahan bahan penulisan yang lebih "gerek" serta berjaya menambat hati para pembaca.

Inilah masanya untuk kita semua berdiri sama tinggi dan melaungkan "BAHASA KITA. GUNAKALAH!"

Namun, jangan la sampai kuat sangat hingga mengganggu ketenteraman orang lain. Hehehehehe ... Timbul pulak masalah lain nanti.

Sampai disini hujah saya dan apa yang boleh saya katakan, nantikan kesinambungan-nya ...