Sunday, July 4, 2010

Dialog Filem Melayu Zaman Dahulu - Ada OOMPH!

Hari ini saya ingin berdiskusi mengenai filem dan drama Melayu. Tidak kiralah yang ditayangkan di layar perak mahupun yang disiarkan dikaca televisyen anda. Tidak juga yang dihasilkan di Singapura ataupun diseberang tambak. Ada pengajaran yang bakal diraih seandainya anda amati setiap kisah yang ditayangkan.

Kepelbagaian emosi yang dilakonkan para pelakon, sutradara yang hebat, penyunting naskah yang harus mengerti susunan kalimat Bahasa Melayu dengan baik dan segala apa apa sajalah yang berkaitan dengan pembikinan filem; ini merupakan faktor utama dalam membuatkan filem atau drama yang dihasilkan POWER ataupun GEREK sey! Eh ... maaf. Bahasa pasar pulak yang saya gunakan. Hehehehe ...


Namun saya amat bengang dengan kualiti filem filem yang dihasilkan sekarang. Tiada apa yang boleh dibanggakan. Lebih menonjol kepada unsur komersial. Ini pendapat ikhlas saya. Ia amat membosankan dan mudah sekali dibaca jalan ceritanya. Adakalanya, langsung tiada daya penarikan! Jika anda bertanya kepada saya, filem yang bagaimanakah yang mampu membuat minda yang bekerja keras, jawapannya tak lain tak bukan, filem filem zaman dulu yang diterbitkan oleh Cathay Keris dan Run Run Shaw. Filem filem seperti Sumpah Semerah Padi, Sultan Mahmud Mangkat Didulang, Raden Mas, Bidasari, Dayang Senandong, Singapura Dilanggar Todak dan sebagainya. Inilah filem filem zaman dahulu yang berkualiti!

Kegemilangan hasil filem dari Jalan Ampas dan juga Allahyarham Tan Sri P. Ramlee juga memang sukar ditandingi. Berpuluh pulh kali menontonnya namun tidak akan jelak malahan emosi saya kian terusik walaupun jalan ceritanya sudah terlebih dahulu saya mengetahui. Hairan kan?

Mengapa filem filem zaman dahulu lebih menarik untuk ditonton walapun kutipan "box office" tak mencecah berpuluhan juta ringgit! Tapi tetap unggul dan mampu bertahan hingga ke hari ini. Cubalah anda pikat saya untuk menonton filem zaman sekarang? Anda kira beruntung kalau saya turut kemahuan anda menonton bersama filem Melayu. Bukan tidak ingin menyokong, tiada "ooomph" faktor la! Balik balik filem cintan cintun. Diberi tiket percuma pun saya tak mahu. Eksyen kan saya? Hehehehe ...

Apakah formula sebenarnya kehebatan filem dahulu? Adakah kerana jalan cerita yang menarik? Adakah pelakon pelakonnya berkarisma? Dimana letaknya kekuatan sebenar filem dahulu yang mebuatkan filem zaman sekarang agak kebelakang biarpun dihasilkan dengan teknologi moden?

Senang cakap, pertuturan Bahasa Melayu yang baik dan lancar yang selalu ditonjolkan dalam filem filem dahulu. Ini mempengaruhi jalan cerita filem secara keseluruhannya. Senang saya melihat dan mendengarnya. Betapa nan indah Bahasa Melayu yang diperjuangkan pada filem zaman dahulu. Bak kelopak bunga. Segar. Indah. Namun begitu, dalam filem filem komedi arahan Tan Sri P. Ramlee, adakalanya bahasa yang digunakan agak kasar juga tetapi dalam keadaan batasnya! Tidak dipengaruhi unsur unsur kebaratan. Itu yang penting.

Cuba anda perhatikan dialog diantara Cik Latifah dengan madunya, Cik Hasnah dalam filem Madu Tiga ini disaat mereka "berperang mulut secara formal" dirumah Cik Rohani. Inilah babak yang menjadi "favourite" dan ikutan para penggemar filem Melayu. Amatinya.

Cik Latifah: Cik Hasnah mengatakan Cik Hasnah melayan suami. Siapa suami Cik Hasnah sekarang?

Cik Hasnah: Siapa lagi Cik Tipah kalau tak Cik Jamil tu.

Cik Latifah: Eh, setau saya Cik Jamil telah berpisah dengan Cik Hasnah.

Cik Hasnah: Tidak. Cik Jamil mana boleh tinggalkan saya. Setahu saya pulak Cik Latifah yang berpisah dengannya. (dengan penuh keyakinan muka Cik Hasnah)

Cik Latifah: Tidak Cik Hasnah. Cik Jamil masih pulang ke rumah.

Cik Hasnah: Ye ke? Jangan jangan kita ini masih bermadu lagi tak. (ketawa sinis)

Cik Latifah: Hey. Cik Jamil dah buat pulak. (dengan muka selamba dan sambil jari dikerusi mengetik) Nasib baik awak dirumah orang, kalau tidak saya kerjakan awak.

Cik Hasnah: Awak ingat saya ni batang pisang yer? Sebelum awak kerjakan saya, saya korek biji mata awak. Uhuk .. (ketawa manja)

Cik Latifah: Eh eh sedapnya. Dah dirampasnya suami kita, biji mata kita pulak nak dikorek!

Hahahahahaha ...

Tak dapat dinafikan lagi setiap kali babak ini muncul, saya akan senyum simpul dan ketawa. Saya hilang kira sudah berapa kali saya menonton filem ini. Memang hebat bukan? Bahasa yang cukup indah biarpun sinis!

Cuba kalau anak anak zaman sekarang, "let's say" atau misal kata mereka berselisihan faham dan bertikam lidah dengan teman teman mereka ataupun sang isteri berperang dengan sang suami? Panas telinga dibuatnya! Tak perlu saya nak menulisnya disini kelak kena GAM nanti blog saya!

Berbalik kepada hal filem, tidak dapat saya menolak kenyataan ada juga filem filem dan drama Melayu yang berkualiti dihasilkan namun belum anda yang mampu menandingi filem filem zaman dahulu! Saya masih menanti!

Inilah keindahan Bahasa Melayu. Semakin lama saya mengupas akan keindahannya semakin saya gemar untuk mempergunakannya bersama ahli keluarga dan juga teman teman saya. Saya tidak akan memperdulikan apa orang akan kata bahasa saya "pekat", yang penting saya orang Melayu dan harus saya mempergunakannya. Tidak kira samada dalam keadaan hari hari biasa, hari sedih, hari gembira, hari lucu, apa apa hari jugalah, Bahasa Melayu adalah bahasa pilihan saya biarpun saya mahir dalam bahasa lain.

Seronok berbual pasal Madu Tiga, panjang lebar pulak blog saya ini! Hehehehe ... Baik saya berundur. Jangan marah ya.

3 comments:

  1. Wahai Encik Lukman,

    Bukan main lagi awak eh. Dalam senyap dah jadi penulis rupanya. Syabas saya ucapkan. Teruskan perjuangan mu demi bangsa dan Bahasa Melayu.

    Memang elok pun dialog Madu Tiga dijadikan bahan rujukan. Betul juga apa yang adik kakak ini katakan, kalau kena budak budak sekarang ikut stail Madu Tiga, lain nanti yang keluar dari mulut mereka!

    Keep on writing!

    Kak Zara

    ReplyDelete
  2. sempat selitkan dialog Madu Tiga eh!!!
    apa apa pun tahniah kerana mampu menghasilkan blog ini.

    suka sangat la!

    Zainal

    ReplyDelete
  3. KAGUM saya dengan anda!
    ceydeebah!!!!hehehehe

    Kris

    ReplyDelete